Saturday, June 12, 2021
SEJARAH KAMPUNG DI DUN TANJUNG DAWAI
Di suatu sudut kawasan Tanjung Dawai, terletak satu tempat bersejarah yang
tersohor dinamakan Kampung Bujang. Asal usul nama Bujang dikhabarkan mempunyai
dua versi yang sangat berbeza. Versi yang pertama menceritakan asal nama Bujang
telah diambil dari perkataan Sanskrit iaitu “Bhujangga”. Bhujangga ini membawa
maksud ular tedung yang besar. Dipercayai pada suatu ketika dahulu, semasa
pedagang dari India berlabuh di kawasan ini, sedang mereka berjual beli, mereka
ternampak seekor ular tedung yang sangat besar. Dengan semena-mena mereka
menamakan kawasan itu sebagai Bhujangga. Versi yang kedua pula mengaitkan nama
Bujang dengan perkataan Siam iaitu “Boojang” yang membawa maksud telaga getah.
Ini sejajar dengan fakta yang terdapat ladang getah yang luas di kawasan simpang
masuk ke Kampung Bujang bermula dari kawasan Getah Sepokok hingga ke Pekan
Sebelah.
Selain Kampung Bujang, tragedi yang bersejarah juga merupakan faktor yang
menyumbang dalam proses penamaan banyak tempat di kawasan Merbok dan Bujang.
Salah satu tempat yang mendapat nama sempena tragedi yang berlaku dahulu ialah
Kampung Langgar. Dikhabarkan di Kampung Langgar terletaknya makam Sultan
Mudzaffar Shah yang merupakan sultan yang memerintah Kedah antara tahun 1136 –
1179. Kampung Langgar telah mendapat namanya sempena peristiwa karamnya kapal
yang membawa Sultan Mudzaffar Shah. Sultan Mudzaffar Shah yang dipercayai pada
ketika itu sedang memudiki Sungai Merbok di dalam kapal baginda. Semasa berlayar,
kapal baginda telah telah terlanggar beting pasir yang menyebabkan kapalnya karam
dan baginda telah menemui ajalnya. Jasad Sultan Muzaffar telah dikebumikan di
Kampung Pengkalan Langgar dan makamnya masih lagi wujud hingga kini.
Mengikut catatan sejarah, baginda adalah Sultan Kedah yang pertama memeluk
agama Islam dan dikenali sebagai Maharaja Derbar Raja II sebelum pengislamannya.
Baginda telah memerintah Kedah dari tahun 1136 hingga 1179 iaitu selama lebih
kurang 43 tahun dan diislamkan hasil dakwah seorang ulama Yaman bernama Sheikh
Abdullah Bin Sheikh Ahmad Bin Quamiri.
Satu lagi tempat yang namanya berkait rapat dengan peristiwa serangan Siam
ke atas Kedah ialah Teluk Che Lela. Kebiasaannya, nama tersebut mudah dikaitkan
dengan nama seorang wanita cantik yang mungkin telah menjadi igauan anak-anak
kampung pada zaman itu. Namun menurut cerita orang – orang tua kampung, Teluk
Che Lela yang terletak berhampiran dengan Kampung Langgar di tebing Sungai
Merbok, pernah dijadikan tempat simpanan meriam untuk melawan tentera Siam.
Perkataan Che Lela merujuk kepada meriam-meriam tersebut. Barangkali, nama
sedemikian diletakkan adalah sebagai kod rahsia supaya musuh tidak dapat
mengetahui tempat simpanan meriam tersebut. Satu lagi tempat simpanan meriam
pada ketika itu ialah Bukit Meriam yang terletak diseberang Sungai Merbok, berdekatan
kawasan Kuala Muda. Kedua - dua kawasan ini menempatkan meriam sebagai
pertahanan sekiranya musuh datang menyerang.
Satu lagi tempat bersejarah yang tidak kurang pentingnya ialah Merbok. Nama
Merbok dikatakan bukanlah berasal daripada nama burung merbuk seperti yang
mungkin dijangka oleh ramai generasi kini. Menurut penceritaan, Merbok mendapat
namanya bersempena bahasa Langkasuka lama yang bermaksud tempat
pengisytiharan. Menurut Hikayat Merong Maha Wangsa, pengisytiharan Islam sebagai
agama rasmi negeri Kedah telah dibuat di pelabuhan Kuala Merbok. Pelabuhan
tersebut terletak berhampiran dengan ibu negeri Kedah yang pada masa itu iaitu
di Bukit Meriam. Satu lagi versi menyatakan bahawa nama Kuala Merbok berasal dari
kuala Sungai Babur.
Singkir, merupakan satu lagi tempat yang unik namanya dan ianya terletak
berhampiran dengan kawasan Merbok. Menurut penduduk lama Kampung Bujang,
nama Singkir diberikan bersempena dengan peristiwa yang mengaitkan Sultan Kedah
pada ketika itu. Adalah dikhabarkan bahawa, Sultan Kedah pada ketika itu, telah
murka kepada dua orang hamba rakyatnya diatas kesalahan yang dilakukan oleh
mereka. Oleh yang demikian, baginda telah menitahkan hamba rakyatnya itu dibuang
daerah. Sebagai hukuman, salah seorang daripada hamba rakyat tersebut telah
disingkirkan di kawasan darat, manakala seorang lagi telah disingkirkan di kawasan
berhampiran laut. Kawasan dimana hamba rakyat ini diasingkan untuk menjalani
hukuman di darat dinamakan Singkir Darat manakala Singkir Laut diberikan bagi
kawasan hukuman hamba rakyat yang diasingkan di kawasan laut. Sehingga ke hari ini
kawasan- kawasan tersebut masih dikenali sebagai Singkir Darat dan Singkir Laut.
Pengkalan Bujang yang terletak di Mukim Bujang pula dikenali kerana faktor
sejarahnya sebagai pelabuhan entrepot dari penghujung abad ke-11 hingga ke
penghujung abad ke-14. Banyak tinggalan sejarah seperti tembikar-tembikar lama dari
China, kepingan gelas dari Timur Tengah serta manik-manik dari India dijumpai di
kawasan ini. Dipercayai, pada suatu ketika dahulu, kawasan ini merupakan satu
pelabuhan yang sangat sibuk dimana banyak kapal-kapal pedagang dari merata dunia
datang berdagang dan berjual beli disana.
Manakala di Merbok pula, sesuai dengan statusnya sebagai tempat
pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi, terdapat sebuah kampung yang dinamakan
Kampung Pondok. Menurut cerita penduduk lama kampung, Kampung Pondok ini
sangat terkenal pada satu ketika dahulu kerana terdapat sebuah madrasah bernama
Madrasah Sa’adatul Daruin. Madrasah ini telah diasaskan oleh Haji Abdul Rahman
Merbok sekembalinya beliau daripada Mekah pada tahun 1925. Dipercayai, madrasah
ini merupakan satu madrasah yang sangat terkenal dalam memperkembang dan
memperjuangkan agama Islam pada ketika itu.
Mitos tempatan juga memberi pengaruh kepada nama sesuatu tempat. Menurut cerita
nenek moyang dahulu, Pulau Bidan, Pulau Bunting, Pulau Songsong dan Pulau Telor
yang terletak di daerah Yan dikatakan adalah berasal daripada manusia yang
disumpah oleh Sang Kelembai. Sang Kelembai merupakan gergasi yang menetap
dikawasan tersebut. Menurut cerita orang – orang tua, Sang Kelembai menjadi sangat
marah akibat tidak dijemput ke majlis melenggang perut kepada seorang wanita yang
mengandung. Akibatnya, manusia yang disumpah tersebut telah bertukar menjadi pulau.
Kelaziman penduduk sesuatu kawasan boleh menjadi faktor penyumbang
kepada pemilihan nama sesuatu kawasan. Di DUN Tanjung Dawai diantara nama yang
berasal dari aktiviti penduduk adalah Kampung Pekan Sebelah. Nama yang unik ini
tercipta apabila aktiviti penduduk hanya berjalan di sebelah kanan kawasan tersebut. Di
sinilah terdapatnya rumah-rumah, kedai-kedai, surau dan lain-lain sementara di
sebelah kiri kampong ini kawasannya digunakan untuk membuka ladang kelapa sawit
dan getah.
Selain itu, satu lagi kawasan berhampiran Kampung Pekan Sebelah dinamakan
Bukit Pendiat yang terletak dikawasan yang agak berhutan dan telah digunakan
sebagai perangkap kepada gajah-gajah liar. Penduduk kampong telah menebuk lubang
di bukit tersebut dan menghalau gajah liar sehingga terperangkap di dalam lubang
tersebut. Nama yang sama juga digunakan di daerah Baling dan dikatakan nama ini
juga berasal daripada aktiviti menangkap gajah yang dijalankan oleh penduduk di
kawasan tersebut. Nama daerah Pendang juga dikatakan berasal dari perkataan
pendiat bersempena aktiviti menangkap dan menjinakkan gajah liar yang giat
dijalankan di sana suatu ketika dahulu.
Selain itu, terdapat sebuah lagi kampung yang dinamakan sebagai Segantang
Garam. Kampung ini terpencil kerana kedudukannya yang jauh berhampiran tebing
sungai Merbok. Untuk sampai ke kampong ini, perjalanannya agak sukar kerana
terpaksa merentasi semak dan belukar. Oleh itu, apabila berpeluang keluar, penduduk
akan membeli bekalan dalam jumlah yang besar supaya dapat bertahan lama. Antara
yang sering dibeli adalah segantang garam untuk dijadikan bekalan sehinggalah
mereka berpeluang untuk keluar sekali lagi. Disebabkan hal ini, kampung tersebut telah
dinamakan Kampung Segantang Garam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
"Sila tinggalkan komen anda"