Sunday, February 7, 2010

Tapak Penyelidikan Arkeologi Sungai Batu, Mukim Bujang



Penyelidik Arkeologi Universiti Sains Malaysia mencatat sejarah apabila berjaya menemui tapak tamadun terawal di Asia Tenggara yang wujud pada awal abad ke-2 di kawasan Sungai Batu berhampiran kawasan Lembah Bujang, Kedah.

Tamadun di Sungai Batu ini adalah jauh lebih tua berbanding beberapa penemuan lain di sekitar Asia Tenggara seperti kompleks kuil Angkor Wat di Kemboja yang wujud di sekitar abad ke-12 dan Candi Borobudur di Indonesia yang dibina pada abad ke-9.

Pengesahan pentarikhan dijalankan di beberapa makmal termasuklah di Beta Analytic Lab di Amerika Syarikat, University Oxford, University of Washington dan Korea Basic Science Institute di Korea menerusi kaedah ‘Radio Carbon’ dan OSL (Optically Stimulated Luminescence)
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim,menyatakan bahawa penemuan tersebut memberikan perspektif baru terhadap sejarah ketamadunan negara kerana tamadun yang ditemui ini turut membuktikan bahawa kawasan Sungai Batu sebelum ini pernah menjadi lokasi perdagangan besi pada ketika itu.

Beliau mengakui bahawa kawasan ini pernah menjadi lokasi pelaburan besi utama untuk tujuan eksport suatu ketika dahulu dan berdasarkan penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Madya Mokhtar Saidin, Pengarah, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, turut menemui tapak peleburan besi.Pihak kementerian bercadang untuk melaporkan penemuan ini kepada Jemaah Menteri supaya tindakan yang terbaik dapat diambil bagi memelihara sumber warisan ini.

Menurut beliau lagi, pihak kementerian turut bercadang untuk mewartakan kawasan tersebut sebagai Taman Warisan Lembah Bujang agar aktiviti pengurusan kawasan seluas hampir 3 kilometer persegi ini dapat dijalankan dengan baik.Kementerian juga akan menubuhkan jawatankuasa yang akan melihat kepada keperluan fizikal termasuk proses pemilikan tanah dan penjagaan artifak bagi membolehkan warisan negara ini dipelihara dengan baik dan sempurna.

Pasukan penyelidik USM yang memulakan ekskavasi pada awal Februari 2009 ini turut menemui tapak ‘ritual’ yang dibangunkan pada tahun 110 Masihi dan dipercayai menjadi pusat kepada tamadun di Sungai Batu ini.

Selain itu , batu bersurat dengan tulisan bahasa Sanskrit Pallava yang berkisar kepada kepercayaan Buddha dan animisme serta pelbagai artifak seperti pisau dan manik turut dijumpai.

Sementara itu, menurut Prof. Madya Mokhtar Saidin sebanyak 10 tapak daripada 97 tapak yang dikenalpasti telah diekskavasi dan pihaknya menjangkakan banyak lagi penemuan baru yang bakal diperlihatkan khususnya berhubung struktur kehidupan masyarakat dalam tamadun tersebut.

Penyelidikan ini dijalankan dengan suntikan dana berjumlah RM 2.3 juta oleh pihak kementerian bagi membiayai segala proses kerja termasuk ekskavasi, penyediaan maklumat dan data GIS, geofizik dan seni kreatif Lembah Bujang

No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan komen anda"